[1*] Siapakah yang menganjurkan Task Force?
Task Force dianjurkan secara bersama oleh Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma) dengan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Karisma merupakan sayap belia yang bernaung di bawah JIM, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar secara sah.
Karisma dan JIM bertindak sebagai penganjur, manakala tugas sebagai sukarelawan Task Force terbuka kepada seluruh individu, walaupun bukan ahli Karisma dan JIM.
[2*] Apakah itu Task Force?
Task Force merupakan program yang dianjurkan selama dua kali setahun, iaitu pada dua tanggal yang diraikan oleh rakyat Malaysia; 31 Ogos (Sambutan Hari Kemerdekaan) dan 1 Januari (Sambutan Tahun Baru). Program ini akan bermula pada petang sebelum hari kejadian, dan bakal tamat pada waktu malam atau pagi keesokan harinya (durasinya adalah opsyenal dan fleksibel).
Program ini memberi peluang kepada para sukarelawan untuk menyantuni ummah. Di kala masyarakat sedang asyik meraikan dua sambutan yang cukup meriah ini, para sukarelawan bakal mengambil tempat di kalangan orang ramai untuk mendekati mereka dengan menyampaikan mesej-mesej moral yang bermanfaat.
[3*] Apakah kepentingan mengadakan Task Force?
Dakwah merupakan kewajipan semua umat Islam, dan Task Force merupakan salah satu medium untuk menyampaikan risalah Islam. Sebagai umat Islam yang prihatin dengan perkembangan umat semasa, perlu wujud sekelompok masyarakat yang berperanan dalam menyampaikan nasihat dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.
Task Force mungkin sukar untuk memberi impak yang drastik dalam memperbaiki keadaan masyarakat, tetapi usaha-usaha sebegini amat penting demi menerajui perubahan. Sekurang-kurangnya, masih ada umat Islam yang komited untuk menyebarkan dakwah. Biarpun prosesnya bergerak perlahan, ini lebih baik dari tidak melakukan apa-apa.
Kita sekadar lakukan kerja kita, selebihnya kita serahkan kepada Allah Ta'ala. Mana tahu, hasil dari kerja yang tampak remeh ini, dapat melembutkan hati mana-mana individu yang disantuni? Alhamdulillah!
[4*] Apakah modus operandi yang bakal dilakukan sepanjang Task Force?
Tugasan para sukarelawan ialah untuk mendekati masyarakat dengan menyebarkan bahan edaran yang disediakan. Selain itu, para sukarelawan sangat digalakkan untuk berbual ringkas dengan individu yang diladeni (sekiranya keadaannya sesuai), untuk memastikan dakwah berlangsung dengan lebih baik.
Secara umumnya, modus operandi menerusi Task Force mementingkan konsep dakwah secara berhikmah (bijaksana) sejajar dengan ajaran Islam. Para sukarelawan akan dibahagikan ke dalam beberapa kelompok kecil sepanjang proses mengedarkan risalah.
[5*] Apakah aturcara Task Force?
Task Force akan bermula seawal jam 5.00 petang. Setelah selesai sesi taklimat dan ta'aruf, para sukarelawan akan dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan kecil. Menerusi kumpulan tersebut, edaran risalah akan berjalan.
Task Force akan dilaksanakan secara berterusan (kerehatan diizinkan) hingga jam 11.00 malam. Sesi perkongsian akan diteruskan sehingga jam 12.00 tengah malam. Aktiviti berikutnya, yakni qiyamullail ialah bersifat opsyenal.
[6*] Bagaimana kalau tidak dapat hadir seawal 5.00 petang?
Jangan risau. Sesi ta'aruf dan taklimat akan berlangsung selama beberapa kali, seperti yang tertera di bawah ini:
Kali Pertama: 5.00 petang
Kali Kedua: 6.30 petang
Kali Ketiga: 7.45 petang
Kali Keempat: 8.45 malam
Kali Kelima: 10.00 malam (kurang digalakkan)
Walaubagaimanapun, para sukarelawan digalakkan untuk hadir seawal mungkin.
[7*] Apa yang perlu saya buat untuk menyertai Task Force?
Sila berkumpul di Masjid Asy-Syakirin, KLCC. Cari Checkpoint Task Force di dalam kawasan masjid dan daftarkan diri anda. Sila laporkan diri kepada Koordinator, Dini Syarif (+6012.930.7522). Semua umat yang prihatin dijemput hadir.
[8*] Apa yang perlu saya pakai, atau bawa?
Sila pakai pakaian berwarna terang, seperti warna putih, kuning, jingga atau merah. Ini adalah untuk memudahkan proses pengesanan sukarelawan, di samping warna yang agak menarik dalam proses untuk mendekati masyarakat. Elakkan pakaian yang terlalu menonjolkan imej Islam (baju melayu, kopiah dan sebagainya).
Jika anda mempunyai bahan edaran, amat digalakkan untuk dibawa bersama. Sila tunjukkan bahan tersebut terlebih kepada Koordinator.
Maklumat lanjut boleh diperolehi dari manual yang akan dikongsikan. Terima kasih di atas perhatian anda.
0 comments:
Post a Comment